comscore
Tumpuan :
Kes

OP Carilamat: Bot rosak, nelayan tempatan dikhuatiri hilang

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam misi CARILAMAT seorang tekong bot nelayan yang tidak pulang sejak petang semalam.

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) selepas menerima maklumat kehilangan nelayan di perairan Langkawi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan selepas tekong bot nelayan yang keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan tidak pulang sejak petang semalam.

“Sejurus menerima maklumat daripada anak mangsa, kita telah mengatur gerak bot PERKASA 1228 dan bot PERKASA 1224 bagi mencari nelayan terbabit yang tidak pulang selepas keluar ke laut pada jam sekitar 4.30 petang dan dipercayai bot yang dinaiki beliau mengalami kerosakan.

“Mangsa yang hilang dikenalpasti sebagai Zaizali Harun, 61, dan usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan selain dibantu agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), serta beberapa bot nelayan tempatan.”

APMM meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Komuniti laut juga dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Loading...
Terkini