comscore
Tumpuan :
Kes

Pelajar antara tokan dadah ditahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar termasuk seorang daripadanya tokan dadah antara yang ditahan menerusi Op Tapis Khas Siri 7 di Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), jeti dan sarang penagih.

Mereka antara 4,177 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dalam operasi yang bermula Selasa lalu hingga kelmarin oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama kontinjen membabitkan 680 pemeriksaan di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 4,878 ditahan dan diperiksa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 4,177 individu berusia 13 hingga 71 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, manakala bakinya dilepaskan.

“Mereka yang ditahan terdiri 484 tokan dadah termasuk seorang daripadanya masih belajar dan enam warga asing yang turut menjadi tokan.

“Seramai 1,982 individu ditahan kerana menagih dadah membabitkan lima penjawat awam dan seorang lagi masih belajar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Noorsiah berkata, seramai 307 individu ditahan kerana dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah dan 1,404 atas kesalahan lain-lain dan daripada jumlah itu 177 warga asing serta seorang pelajar.

“Pecahan tangkapan mengikut siasatan pula adalah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (136), Seksyen 39A (2) ADB 1952 (83), Seksyen 39A(1) ADB 1952 (265), Seksyen 39C ADB 1952 (243) dan Seksyen 12(2) ADB 1952 (831).

“Bagi Seksyen 6 ADB 1952 pula seramai 51 tangkapan, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (279), Seksyen 15(1)(a) ADB 1952(1,912) Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dadah 1983 (70) dan orang dikehendaki seramai 307 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi ini seberat 181.84 kilogram (kg) dan 1,003.12 liter pelbagai jenis dadah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM3,634,566″.

Turut dirampas adalah senjata api, dua laras senapang buatan sendiri dan lima butir peluru hidup.”Selain itu, tindakan juga diambil mengikut ADB (Perlucuthakan Harta) 1988.

JSJN menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM612,563.00 antaranya wang tunai berjumlah RM32,663, barang kemas bernilai RM49,600 dan kenderaan bernilai RM530,300,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini