comscore
Tumpuan :
Kes

Pesara maut, motosikal bergesel lori

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pesara kerajaan maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lori di lampu isyarat di Krubong Tampoi di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa, K.S. Thevadas, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave cuba memotong sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati, lori tersebut dalam perjalanan dari arah Krubong Tampoi menghala ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) dan berhenti di lampu isyarat.

“Bagaimanapun, apabila lampu isyarat bertukar warna hijau, mangsa yang datang dari arah kiri telah memotong ke arah kanan jalan menyebabkan berlaku pergeselan dengan lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

“Motosikal mangsa juga telah terbakar di tempat kejadian dan berjaya dipadamkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Ujarnya, spesimen darah pemandu lori berusia 57 tahun itu telah diambil bagi tujuan ujian alkohol dan dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini