comscore
Tumpuan :
Kes

Polis Johor rampas dadah RM1.66 juta.

Antara barang rampasan dalam 17 serbuan Op Khas dan Terancang yang turut menahan 22 individu.
FOTO: Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.66 juta dalam 17 serbuan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kota Tinggi pada 28 Oktober hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan itu dibuat dalam Op Khas dan Terancang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut menahan 22 individu.

Katanya ops terbabit bagi menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah negeri Johor.

“Dalam serbuan itu 19 lelaki tempatan ditahan, selain seorang wanita tempatan dan dua wanita warga asing berusia 19 hingga 39 tahun turut ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.

“Modus operandi mereka ialah menjadikan rumah ‘gated and guarded’ sebagai tempat penyimpanan dadah dan pembungkusan semula, sebelum penghantar menggunakan motosikal edarkan dadah sekitar kawasan Johor Bahru.

“Kesemua suspek dipercayai aktif sekitar pertengahan tahun ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 7.02 kilogram (kg), heroin (5.80 kg), Ketamin (489 gram), serbuk ekstasi (305.80 gram), pil ekstasi (32 biji) dan ganja (0.65 gram).

Katanya jumlah dadah ini sekiranya berterusan berada di pasaran boleh digunakan seramai 68,048 penagih.

“Polis juga menyita pelbagai wang tunai antaranya RM 145,458; wang tunai mata wang Singapura (SGD 4,685) dan wang tunai USD 30.

“Turut disita lapan kereta pelbagai jenis, 14 unit barang kemas dan 23 telefon bimbit yang keseluruhan bernilai RM2.759 juta termasuk nilai dadah.

“Kesemua suspek ditahan dan direman dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Untuk rekod, sejak awal tahun ini hingga semalam, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan keatas 12,397 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Dalam tempoh sama sebanyak 2.97 tan dadah pelbagai jenis turut dirampas dengan nilai rampasan RM13.17 juta.

Loading...
Terkini