comscore
Tumpuan :
Kes

Polis kesan individu menyamar Ketua Polis Negara promosi skim pelaburan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang mengesan individu yang menyamar sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi tujuan mempromosikan satu skim pelaburan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata individu berkenaan dikesan melakukan penyamaran dalam satu kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang mempromosikan pelaburan dikenali sebagai Amundi.

“Dalam kumpulan sembang itu terdapat satu profil WhatsApp yang menyamar sebagai Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Negara.

“Individu terbabit yang menggunakan nombor telefon 010-2301160 mendakwa kononnya Ketua Polis Negara turut menyertai skim pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, semakan PDRM mengesahkan bahawa Ketua Polis Negara tidak pernah terbabit dalam skim pelaburan berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat agar siasatan boleh dimulakan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dan menggunakan nama Ketua Polis Negara.

“Siasatan ke atas skim pelaburan berkenaan juga sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, PDRM menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan skim penipuan pelaburan sebegini.

Loading...
Terkini