comscore
Tumpuan :
Kes

Polis rampas 18,000 pil yaba bernilai RM180,010

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menunjukkan 18,000 pil yaba dan 0.3 liter air ketum bernilai RM180,010 yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) hari ini. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 18,000 biji pil yaba dan 0.3 liter air ketum yang bernilai keseluruhan RM180,010 dalam serbuan di pekarangan pam minyak di Jalan Hamzah, semalam.

Rampasan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 2.20 pagi itu turut menahan dua lelaki yang juga penganggur masing-masing berusia 24 dan 49 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika serbuan, polis menahan sebuah kereta jenis Hyundai yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Hasil pemeriksaan di ruangan hadapan menemukan satu bungkusan plastik di dalamnya diisi tiga bungkusan kertas yang mempunyai pil disyaki yaba dan satu botol cecair dipercayai ketum.

“Polis menemukan 18,000 biji pil yaba dan 0.3 liter air ketum yang bernilai RM180,010 yang kemudian dirampas, manakala kereta jenis Hyundai bernilai RM9,000, wang tunai RM523 dan seutas jam tangan bertulis ‘Rolex’ RM250 disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuhakan harta) 1988,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di lokasi yang sama pada jam 2.45 pagi hari yang sama.

Katanya, tiada barang yang dirampas dan dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 10 November ini.

“Walaupun pada musim pilihan raya, namun pihak polis akan terus memantau dan bertugas untuk membanteras aktiviti jenayah.

“Pihak polis akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah,” katanya.

Loading...
Terkini