comscore
Tumpuan :
Kes

PRU-15: 30 kertas siasatan dibuka, 7 ditahan

Pengarah Operasi PRU-15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kesalahan ketika kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sejak 5 November lalu sehingga semalam.

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak tujuh individu ditahan.

Pengarah Operasi PRU-15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, semua mereka ditahan membabitkan kes yang dilaporkan di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Menurutnya, sebanyak lima siasatan dibuka di Perak, empat di Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala satu di Melaka, Terengganu dan Sabah.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147, Seksyen 379, Seksyen 427, Seksyen 435, 436, Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Kita turut menyiasat berapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazani berkata, daripada jumlah yang ditahan seramai tiga individu ditahan di pekarangan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, kerana melakukan pengedaran risalah parti politik.

“Pangkalan TLDM yang diwartakan sebagai kawasan larangan, tiga lelaki itu melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mengedarkan risalah politik ke peti surat rumah di kawasan terbabit.

“Semua individu itu diberikan kelulusan masuk pangkalan bagi urusan melawat saudara sahaja, namun kesemua mereka melakukan aktiviti pengedaran risalah politik tanpa sebarang kelulusan dari pihak TLDM,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Hazani berkata, sebanyak 1,522 permit ceramah dikeluarkan PDRM di 14 kontinjen seluruh negara.

Katanya, kontinjen paling banyak permit dikeluarkan iaitu Sabah dan Sarawak dengan 265 diikuti Kedah (158) dan Kelantan (122).

“Hanya satu ceramah politik yang dikesan dijalankan tanpa permit di Sarawak, semalam,” katanya.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini