comscore
Tumpuan :
Kes

Rayer disekat masuk Sarawak

RAYER disekat memasuki Sarawak sebaik tiba di LTAK, hari ini. Foto Facebook Democratic Action Party. -Foto: Democratic Action Party/Facebook

KUCHING: Hasrat Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer untuk berceramah di sini, malam ini tidak kesampaian apabila disekat oleh Jabatan Imigresen Sarawak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari Pulau Pinang itu dijadual mengadakan ceramah bersama-sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan DAP Sarawak, Chong Chieng Jen serta penyandang dan calon DAP di Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii di Pusat Khidmat DAP Batu Kawa pada jam 7 malam ini.

Menurut jurucakap DAP Sarawak, Rayer berlepas dari Pulau Pinang pada jam 3 petang dan tiba di LTAK kira-kira jam 5 petang.

Namun katanya sebaik tiba di LTAK, beliau tidak dibenarkan masuk oleh pegawai imigresen.

Ekoran itu, katanya Rayer akan berlepas keluar dari Kuching ke Kuala Lumpur pada jam 9 malam nanti, dan mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 11.20 malam.

Sementara, Pengarah Imigresen Sarawak Datu Ken Leben turut mengesahkan sekatan ke atas Rayer itu.

“Beliau tidak dibenarkan masuk kerana di bawah senarai hitam pihak berkuasa negeri sejak 2016,” katanya yang dihubungi.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini