comscore
Tumpuan :
Kes

Suspek, Zarina Mukhtar ada pertalian keluarga

FOTO: NSTP

MARANG: Suspek yang ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita dalam semak di Kampung Alor Gali, di sini, Khamis lalu adalah ahli keluarga terdekat mangsa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata pihaknya mendapati suspek berusia 59 tahun adalah individu terakhir bersama mangsa yang dikenali sebagai Zarina Mukhtar, 57, berdasarkan maklumat awam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur sebelum suspek mengambilnya di Kampung Rhu Rengeh, di sini pada jam 10 pagi, 16 Januari lalu.

“Kita percaya suspek orang terakhir bersama mangsa dan ketika itu ada orang awam melihat mangsa dibawa suspek menaiki sebuah kereta berwarna gelap.

“Malah, kita juga percaya ada kemungkinan mangsa mati di tempat lain dan dibuang dalam semak di Kampung Alor Gali, di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, pihaknya percaya mangsa sudah meninggal dunia tidak kurang 36 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya mangsa ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi ditipu sebelum balik semula ke Terengganu.

“Mangsa adalah orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan juga ibu tunggal kepada seorang anak.”Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Kepong, Kuala Terengganu,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam kawasan semak di Kampung Alor Gali, di sini.

Penemuan mayat tanpa identiti dalam semak 30 meter dari jalan utama oleh orang awam yang sedang mencari daun palas di kawasan kejadian.

Terdahulu, pagi tadi seorang pesara berusia 59 tahun ditahan reman bagi membantu kes penemuan mayat Zarina.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Marang, Zur Azureen Zainalkefli selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang semalam di Jeli, Kelantan.

Loading...
Terkini