comscore
Tumpuan :
Kes

Syarikat elektronik didenda RM30,000 kerana cemar alam sekitar

Foto JAS Pulau Pinang – Penguat kuasa JAS Pulau Pinang memeriksa syarikat kitar semula di Bukit Minyak yang didapati melakukan kesalahan membuat penstoran luar tapak bagi buangan terjadual tanpa lesen.

BUTTERWORTH: Sebuah syarikat barangan elektronik didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana didapati mencemarkan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata denda itu diputuskan Hakim Noor Aini Yusof selepas pihak syarikat mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan.

Syarikat itu didapati menyebabkan pembuangan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke dalam perairan pedalaman.

“Pelepasan efluen yang mengandungi bahan pencemar melebihi had ditetapkan telah mencemarkan perairan dan berpotensi menjejaskan kesihatan awam.

“Dalam pada itu, premis terbabit didapati melepaskan pepejal terampai (suspended solid) sebanyak 200 mg/l iaitu melebihi had yang ditetapkan (100mg/l) dan aluminium sebanyak 39 mg/l berbanding had yang ditetapkan sebanyak 15 mg/l,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat itu diwakili oleh pengurus fasiliti yang hadir bersama peguam, Peter Huang.

“Syarikat terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000.

“Denda maksimum bagi kesalahan ini adalah tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini