comscore
Tumpuan :
Kolumnis

Sejarah Menunjukkan Pelan Imunisasi Malaysia Catat Kejayaan Besar, Kata Saintis

Oleh: BERNAMA

Pekerja kesihatan di Mognot Hospital di Le Chesnay dekat Paris menyediakan suntikan vaksin. FOTO: AFP

KUALA LUMPUR: Masih sangsi dengan keberkesanan vaksin dan fungsinya yang menyelamatkan jutaan nyawa manusia saban tahun? Tahukah anda negara telah melaksanakan pelbagai program imunisasi dengan jayanya sejak tujuh dekad lalu sehingga penyakit seperti polio dan cacar air kini hanya tinggal sejarah?

Saintis, Ts. Dr Ummirul Mukmimin Kahar daripada Institut Genom Malaysia, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) menceritakan sejarah kejayaan Pelan Imunisasi Kebangsaan telah menyelamatkan dua hingga tiga juta nyawa rakyat Malaysia setiap tahun daripada pelbagai penyakit cegahan vaksin.

“Di Malaysia, Pelan Imunisasi Kebangsaan telah diperkenalkan pada awal tahun 1950. Perkhidmatan itu diberikan secara percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan tuberculosis (batuk kering), Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), polio, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

“Untuk pengetahuan, Malaysia telah diiktiraf bebas daripada polio pada sekitar tahun 2010 oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan pengiktirafan ini merupakan satu kejayaan besar kepada Pelan Imunisasi Kebangsaan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual melalui aplikasi Zoom di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, penyakit polio juga telah berjaya dibasmi di tiga benua iaitu Amerika, Eropah dan Pasifik Barat.

Menyingkap lagi mengenai kejayaan vaksin dunia, Dr Ummirul Mukminin memberi contoh penyakit smallpox (cacar air) dengan kadar kematian yang tinggi serta kesan parut atau buta pada mangsa-mangsa yang dijangkiti berjaya dibasmi di seluruh dunia pada tahun 1980.

“Contoh-contoh yang telah saya sebutkan tadi menunjukkan bahawa proses vaksinasi telah berjaya mengurangkan dengan ketara kadar kematian akibat penyakit cegahan vaksin.

“Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa daripada dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa vaksin, pihak WHO menganggarkan kehilangan dua hingga tiga juta nyawa daripada jangkitan penyakit cegahan vaksin,” katanya.

Pangkalan data WHO setakat ini merekodkan terdapat lebih 20 jenis vaksin yang telah dihasilkan dan berjaya menyelamatkan jutaan nyawa setiap tahun.

Justeru, katanya, bukti-bukti itu menunjukkan masyarakat tidak perlu bimbang untuk menerima sebarang vaksin walaupun ia vaksin untuk penyakit baharu.

Beliau menegaskan seperti semua ubat, vaksin juga telah menjalani ujian yang rapi untuk memastikan ia selamat sebelum dapat diperkenalkan di sebuah negara termasuk di Malaysia.

“Secara amnya, vaksin akan diuji buat pertama kali pada haiwan untuk menilai keselamatan dan potensinya untuk mencegah penyakit. Ia kemudian diuji bagi keberkesanan dan keselamatannya dalam ujian klinikal manusia di bawah selian badan-badan tertentu mengikut piawaian yang ketat seperti CDC (Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit) dan FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan) di Amerika Syarikat dan WHO.

“Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) akan menjalankan penyelidikan dan ujian dengan rapi sebelum meluluskan sesuatu vaksin dan ia perlu menepati kesemua tiga ciri utama iaitu selamat, berkesan dan stabil,” katanya.

Beliau berkata NPRA turut memantau rapi semua laporan mengenai kesan sampingan, terutamanya yang berkait dengan vaksin yang akan diperoleh dan sentiasa berkomunikasi dengan syarikat pengeluar, WHO serta badan-badan kawal selia seumpamanya di seluruh dunia.

Bagi vaksin COVID-19 katanya, walaupun terdapat laporan kesan alahan kepada penerima selepas divaksinasi, namun vaksin berkenaan bukan penyebab reaksi alahan itu.

Kesan sampingan ringan daripada vaksin COVID-19 termasuk kemerahan atau sakit di tempat cucukan vaksin, namun ia akan pulih selepas dua hingga tiga hari, oleh itu katanya rakyat tidak perlu bimbang.

Mengulas mengenai golongan antivaksin yang terus menanam rasa curiga kepada masyarakat agar tidak menerima vaksin termasuk vaksin COVID-19, Dr Ummirul Mukminin memberi nasihat agar mendapatkan sumber dan maklumat yang sahih bagi mengatasi ketidakpercayaan kepada vaksin.

Rakyat katanya, boleh mendapatkan maklumat itu daripada laman web atau media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Secara kolektif, manfaat imunisasi adalah lebih besar daripada risikonya yang dikaji dan diketahui. Impak pengambilan vaksin tidak akan dapat dilihat dalam masa yang singkat.

“Ia memerlukan satu tempoh masa sehingga kita dapat memberi vaksinasi kepada sejumlah anggota masyarakat untuk melihat pengurangan bilangan jangkitan. Bersama-sama kita mengambil vaksin untuk lindungi keluarga, rakan-rakan dan semua di sekeliling kita dengan melindungi diri sendiri terlebih dahulu,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini