comscore
Tumpuan :
Luar Negara

ASEAN ketengahkan tiga tindakan utama promosi pembangunan bandar mampan

Datuk Lim Jock Hoi
Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi

FUKUSHIMA: Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini pada Ahad, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk mempromosi pembangunan bandar pintar dan mampan di rantau ini.

Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dalam ucapan perasmian pada majlis itu menekankan mengenai pentingnya pelaburan dalam infrastruktur digital untuk pembangunan bandar pintar dengan memanfaatkan data yang membantu pegawai membuat keputusan ke arah perkhidmatan lebih berrkesan kepada rakyat.

“Infrastruktur digital pusat yang mantap dan bersepadu perlu untuk merealisasikan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam rakaman ucapannya pada majlis itu.

Beliau berkata Jepun menyokong ASEAN melalui Perkongsian Bersama Pintar Jepun-ASEAN yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membantu bandar menentukan infrastruktur digital yang sesuai.

Lim juga berkata ASEAN menekankan usaha untuk meningkatkan modal insan yang penting bagi merebut peluang bandar pintar terutama ketika menimbang pelbagai kapasiti bandar raya ASEAN dalam menguruskan projek bandar pintar.

Beliau berkata banyak bandar ASEAN terutama yang bersaiz kecil dan sederhana, memerlukan sokongan institusi yang boleh membantu kerajaan tempatan mereka bentuk dan melaksana inisiatif bandar pintar.

“Oleh itu, ASEAN dan Jepun boleh bekerjasama untuk menyediakan sokongan strategik dan teknikal yang membantu lokaliti dalam melaksanakan rancangan bandar pintar,” katanya.

Ketiga, Lim berkata penyertaan komuniti inklusif penting untuk melaksana inisiatif Bandar Pintar dengan mendekati orang ramai dalam proses penyelesaian masalah, seterusnya akan membantu pemerintah tempatan memilih penyelesaian sesuai untuk pelbagai isu komuniti di kawasan masing-masing.

Ini kata beliau akan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka yang bekerja dan tinggal di bandar.

Lim berkata mengejar pembangunan bandar pintar dan mampan penting dalam agenda ASEAN memandangkan kumpulan serantau itu berusaha untuk menangani cabaran bandar dan memperkasa komuniti yang mudah terjejas di bandar tersebut.

“Dalam hal ini, saya memuji kerajaan Jepun atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka ke arah merealisasikan inisiatif bandar pintar di ASEAN,” kata beliau.

Lim berkata pandemik COVID-19 memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan bandar dan sebagai tindak balas, negara dan bandar anggota ASEAN terus melakukan transformasi secara digital dan mampan untuk menangani cabaran bandar serta memajukan usaha pemulihan.

“Oleh itu saya yakin mesyuarat hari ini akan membuka peluang besar kepada ahli Rangkaian Bandar Pintar ASEAN untuk bertukar idea dan pengalaman dengan Jepun dalam menjadikan bandar kita lebih sesuai untuk didiami,” kata beliau.

Mesyuarat itu yang berakhir Isnin, anjuran Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun dengan kerjasama ASEAN serta agensi kerajaan dan majlis perbandaran yang berkaitan.

Diadakan secara tahunan, mesyuarat antarabangsa itu telah menyumbang kepada membina hubungan kerjasama dalam bidang bandar pintar antara ASEAN dan Jepun sejak mesyuarat sulungnya pada 2019.

Berlangsung di University of Aizu di Aizuwakamatsu, Fukushima, mesyuarat itu dihadiri delegasi ASEAN, selain tiga anggota media dari Filipina, Kemboja dan Malaysia.- BERNAMA

Loading...
Terkini