comscore
Tumpuan :
Luar Negara

ASEAN tak akan jadi proksi China dan mana-mana negara – Jokowi

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan ASEAN tidak akan menjadi proksi China atau mana-mana negara kerana kesatuan itu mahu mengekalkan kestabilan dan kedamaian di rantau ini dengan menghormati undang-undang antarabangsa, dasar kesaksamaan dan saling menghormati.

Beliau membuat penegasan itu berikutan pelbagai dakwaan yang mengaitkan negara anggota ASEAN kini dikawal China berikutan kebanyakan negara serantau bergantung kepada negara itu.

Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau tidak mahu ASEAN menjadi proksi mana-mana pihak.”ASEAN tidak boleh menjadi proksi negara mana pun kerana ASEAN itu bersifat terbuka dan inklusif.

“Apa yang kita inginkan adalah jaminan kerjasama ekonomi dengan semua pihak berdasarkan asas kesaksamaan, saling menghormati, penyelesaian menang-menang.

“Dalam masa yang sama kita inginkan mengukuhkan kerjasama bukan hanya antara kerajaan dengan kerajaan, tapi dari masyarakat ke masyarakat.

Ini yang kita akan terus kita tekankan,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Kumpulan Media Prima yang dihoskan wartawan penyiaran Fiza Sabjahan.

Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 minggu depan yang berlangsung pada 10 dan 11 Mei di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur.

Antara isu yang bakal dirundingkan dalam sidang kemuncak itu termasuk krisis di Myanmar, keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, rundingan mengenai Tatakelakuan di Laut China Selatan dan pemerdagangan manusia.

Berhubung isu isu maritim dan pertikaian sempadan membabitkan Amerika Syarikat (AS)-China di perairan Laut China Selatan, Jokowi menegaskan kedudukan ASEAN jelas dalam isu di Laut China Selatan yang mana negara anggota mahukan kawasan berkenaan kekal stabil, damai dan sejahtera.

“Perkara ini diinginkan semua anggota ASEAN dan kunci utama dalam isu ini adalah kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa serta kepatuhan kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

“Semua tuntutan yang tiada berasas sepatutnya tidak wujud. Kata kunci dalam isu ini adalah kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa. ASEAN akan terus menggesa supaya kestabilan dan perdamaian terus mekar di rantau ini,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan ASEAN berkaitan keselamatan serantau dan global berikutan kemunculan pakatan empat negara Amerika Syarikat (AS), Jepun, India dan Australia (QUAD) dan pakatan kerjasama Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS) tanpa membabitkan ASEAN, beliau menegaskan kumpulan berkenaan tidak perlu dilihat sebagai pesaing atau ancaman dalam mempertingkatkan keselamatan serantau.

“Pada saya, QUAD dan AUKUS itu harus kita lihat sebagai rakan kongsi dan jangan sekali dilihat untuk menjadi pesaing atau ancaman.

Apa pun yang terkait dengan kawasan ASEAN, kita inginkan rantau ini terus stabil dan damai. Ini kerana tanpa dua faktor penting ini, tanpanya tidak mungkin masyarakat ASEAN meraih kesejahteraan.

“ASEAN adalah satu-satunya organisasi rantau yang menyediakan pelbagai wilayah diplomasi dan menjadi prinsip ASEAN untuk berkolaborasi, bekerjasama dan pembabitan yang aktif.

“Kita tidak mahu mewujudkan pertikaian. Kita tidak ingin mewujudkan pengasingan,” katanya.

Loading...
Terkini