comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Bank pusat hadapi cabaran besar untuk turunkan inflasi – Ketua IMF

FOTO: REUTERS

ANKARA: Menurunkan inflasi merupakan cabaran terbesar dan segera yang dihadapi oleh bank-bank pusat dalam ekonomi pasaran maju dan sedang pesat membangun, menurut pengarah urusan IMF, Kristalina Georgieva.

“Kita melihat bank pusat mengetatkan dasar monetari untuk memulihkan kestabilan harga. Walaupun secara umumnya terdapat persetujuan dalam kalangan bank pusat bahawa dasar monetari harus kekal di landasan, cabaran yang berkaitan dengan cara mengurus kitaran pengetatan monetari tetap terbuka,” lapor Agensi Anadolu memetik Georgieva pada Persidangan Penyelidikan Tahunan Jacques Polak ke-23 di Washington, D.C.

Bagi menurunkan rekod inflasi yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 40 tahun di sesetengah negara, bank pusat ekonomi utama telah memulakan kitaran pengetatan monetari secara agresif.

Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 375 mata asas atau 3.75 peratus sejak Mac manakala Bank of England menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, kenaikan tunggal terbesar sejak 1989, yang merupakan kenaikan kelapan berturut-turut.

Walaupun berlaku pengetatan monetari yang agresif, inflasi pengguna tahunan di AS meningkat 7.7 peratus pada Oktober manakala inflasi di UK melonjak 10.1 peratus pada September.

“Inflasi berada pada paras tertinggi, kenaikan harga makanan dan tenaga, gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan pendedahan kepada hutang yang semakin meningkat. Kedudukan kewangan semakin ketat manakala aliran modal dan turun naik kadar pertukaran asing turut meningkat secara mendadak.

“Ini sangat membimbangkan bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana yang berhadapan dengan semua cabaran ini dan ditambah pula dengan kekangan pembiayaan dan akses terhad kepada pasaran,” kata Georgieva.

Ketua IMF itu berkata keutamaan sepatutnya adalah untuk melindungi isi rumah yang terdedah akibat kesan kenaikan harga makanan dan bahan api, dan dasar fiskal tidak seharusnya meningkatkan lagi inflasi dan mengetepikan keputusan dalam dasar monetari. – BERNAMA

Loading...
Terkini