comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Berlian Fortune Pink dijual dengan harga RM133.4 juta

Foto: AFP

GENEVA: Berlian Fortune Pink, batu permata gergasi yang sangat jarang ditemukan, dijual dengan harga lebih AS$28.5 juta (kira-kira RM133.4 juta).

Ia dijual ketika acara lelongan semalam, kepada pengumpul persendirian dari Asia.

Seberat 18.18 karat, ia adalah berlian merah jambu terang berbentuk pir terbesar yang pernah dijual pada acara lelongan, kata rumah lelong Christie.

Berlian mempesonakan itu dijual pada harga 24.5 juta Swiss franc (kira-kira RM117 juta), sebelum bidaan meningkat kepada 28,436,500 Swiss franc (kira-kira RM134 juta).

Bidaan itu berlangsung selama empat minit bermula dengan 17 juta franc Swiss (kira-kira RM81.2 juta) dan membabitkan saingan tiga penjuru antara pembida telefon, dengan pemenang akhirnya berjaya mendapatkan permata itu selepas menaikkan bidaan sebanyak setengah juta.

Berlian itu pernah dipamerkan di New York, Shanghai, Taiwan dan Singapura pada Oktober, sebelum kembali ke Switzerland.

Fortune Pink sebelum ini dianggarkan akan meraih antara AS$25 juta (kira-kira RM117 juta) dan AS$35 juta (kira-kira RM165 juta).

Rekod dunia untuk harga lelongan berlian merah jambu dicatatkan pada 2017, apabila berlian dinamakan sebagai CTF Pink Star dijual di Hong Kong pada harga AS$71.2 juta (kira-kira RM335 juta).

Loading...
Terkini