comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Biden ‘terkejut’ dokumen sulit dijumpai di pejabatnya

FOTO: AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata pada Selasa bahawa beliau terkejut apabila mendapat tahu dokumen sulit ketika beliau sebagai naib presiden ditemui di pejabat badan pemikirnya di Washington, D.C.

“Orang ramai tahu saya mengambil serius berhubung dokumen dan maklumat sulit,” kata Biden pada sidang media di Sidang Kemuncak Pemimpin Amerika Utara di Mexico City, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata peguamnya sedang mengosongkan pejabatnya dan menemui beberapa dokumen dalam kotak di dalam kabinet berkunci dan menyedari terdapat beberapa dokumen sulit di dalam kotak itu.

Sambil menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui isi kandungan dokumen itu, Biden berkata dokumen-dokumen itu “segera” diserahkan kepada Arkib Negara.

Kenyataan Biden dibuat sehari selepas timbul laporan mengenai bahan sulit yang ditemui di pejabat Pusat Diplomasi dan Penglibatan Global Penn Biden di Washington, D.C. pada 2 November.

Bahan-bahan itu termasuk 10 dokumen yang merangkumi topik berkaitan Ukraine, Iran dan United Kingdom, lapor CNN memetik sumber.

Peguam Negara AS Merrick Garland telah menerima laporan awal mengenai siasatan dokumen dan beliau perlu memutuskan tindakan seterusnya termasuk sama ada untuk membuka kertas siasatan, menurut sumber penguatkuasaan undang-undang.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga terlibat dalam penyiasatan itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini