comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Calon tarik diri menjelang pilihan raya Presiden Turkiye Ahad ini

Muharrem Ince dikritik hebat  pembangkang kerana memasuki kempen hanya dua bulan sebelum pengundian. – FOTO: AFP

ISTANBUL: Calon pilihan raya presiden Turkiye, Muharrem Ince, menarik diri daripada pertandingan sengit kali ini selepas menjadi sasaran kempen dalam talian, yang mencemar namanya termasuk paparan imej palsu beliau bertemu wanita dan menaiki kereta mewah.

Keputusan Ince itu mengejutkan dan dilihat meningkatkan peluang kemenangan pusingan pertama pembangkang.

Pemimpin parti Homeland berusia 59 tahun itu memperoleh 30.6 peratus undi ketika mencabar Presiden Recep Tayyip Erdogan pada pilihan raya 2018.

Beliau kemudian meninggalkan parti pembangkang utama dan melancarkan gerakannya sendiri yang mula menarik undi daripada pemimpin sekular Kemal Kilicdaroglu, calon bersama blok anti-Erdogan.

“Saya menarik balik pencalonan saya, saya melakukannya untuk negara saya,” kata Ince kepada pemberita menjelang pemilihan presiden dan Parlimen Ahad ini.

Ince mendapat kritikan hebat  pembangkang kerana memasuki kempen hanya dua bulan sebelum pengundian.

Pengkritik melihat beliau sebagai calon ‘pengacau undi’ yang hanya boleh membantu Erdogan, yang berkuasa sejak 2003, melanjutkan pentadbirannya selama dua dekad lagi hingga 2028.

Ince sebelum ini menegaskan beliau menawarkan alternatif lebih bersemangat kepada pengundi berbanding Kilicdaroglu yang berusia 74 tahun, malah Erdogan, 69, turut terkejut dengan pengumuman itu.

“Seorang calon menarik diri, sukar memahami kenapa ini berlaku. Secara jujur, saya bersedih dan berharap beliau teruskan sehingga akhir,” katanya ketika berkempen di Ankara.

Tinjauan pendapat menunjukkan Kilicdaroglu mendahului Erdogan dengan beberapa mata peratusan tetapi belum mencapai tahap 50 peratus yang diperlukan bagi memenangi pusingan pertama.

Tinjauan oleh Metropoll pula menunjukkan 49 peratus daripada sokongan bagi Ince kini beralih kepada Kilicdaroglu dan 22 peratus kepada Erdogan.

Ince tidak menyokong mana-mana calon selepas mengumumkan menarik diri. – AFP

Loading...
Terkini