comscore
Tumpuan :
Luar Negara

China tolak vaksin negara barat walaupun berdepan penularan wabak COVID-19

FOTO: REUTERS

WASHINGTON: Presiden China, Xi Jinping enggan menerima vaksin dari negara Barat walaupun berdepan cabaran besar penularan wabak COVID-19.

Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Avril Haines berkata, walaupun protes baru-baru ini tidak memberi ancaman terhadap pemerintahan Parti Komunis pimpinan Jinping, keadaan itu dikhuatiri boleh menjejaskan kedudukan peribadinya.

Walaupun kes harian COVID-19 di China hampir mencecah paras tertinggi sepanjang masa, beberapa bandar mengambil langkah untuk melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin selepas dasar sifar COVID diperkenalkan Jinping mencetuskan kelembapan ekonomi yang mendadak serta pergolakan awam.

China tidak meluluskan mana-mana vaksin COVID-19 dari negara asing dan hanya memilih yang dihasilkan di dalam negara, namun beberapa kajian mencadangkan vaksin tersebut tidak berkesan sepenuhnya seperti beberapa vaksin asing.

Menurut pakar, ini bermakna pelonggaran langkah pencegahan virus boleh mendatangkan risiko besar.

Rumah Putih mengesahkan pada awal minggu ini bahawa China tidak meminta bekalan vaksin dari AS.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa tidak ada jangkaan ketika ini bahawa China akan meluluskan vaksin dari negara barat. – REUTERS

Loading...
Terkini