comscore
Tumpuan :
Dunia

Dasar Britain ingin lihat, iktiraf negara Palestin termasuk di PBB – Cameron

Setiausaha Luar Britain, David Cameron – Foto REUTERS

BEIRUT: Setiausaha Luar Britain, David Cameron berkata, beliau memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya bersikap terbuka mengenai penubuhan negara Palestin dan jangan berkeras mahukan perkara yang mustahil berlaku.

Beliau menegaskan, penubuhan dua negara berdaulat Israel dan Palestin adalah satu-satunya cara mengakhiri perang di wilayah terbabit dan mengulangi sokongan Britain untuk penyelesaian itu.

Perang Gaza kini membangkitkan semula rumusan dua negara sebagai penyelesaian kepada perang Israel-Palestin, yang masih dilihat oleh banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS) sebagai jalan kedamaian walaupun proses rundingannya sudah ‘hampir mati’ selama bertahun-tahun.

Dalam temu bual dengan stesen Lubnan LBCI yang disiarkan semalam, Cameron berkata, sebahagian daripada dasar Britain menetapkan ia akan melihat untuk mengiktiraf negara Palestin termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Itu tidak boleh dilakukan pada permulaan proses. Proses perlu diteruskan, tetapi ia tidak semestinya di penghujung proses,” katanya.

Netanyahu sebelum ini menentang kedaulatan Palestin, dengan menegaskan tidak akan bertolak ansur sehingga Israel mendapat kawalan keselamatan sepenuhnya di barat Jordan dan ia bertentangan dengan penubuhan negara Palestin.

Semasa lawatan ke Lubnan sebagai sebahagian daripada lawatan serantau, Cameron menjelaskan Netanyahu ‘tidak menolak secara menyeluruh mengenai penyelesaian dua negara’.

“Mesej saya kepadanya adalah mula bercakap mengenai perkara yang membolehkan penubuhan negara Palestin dan bukannya perkara yang mustahil berlaku. Jadi, itulah yang patut kita usahakan,” katanya.

Bulan lalu, Cameron dilaporkan berkata, rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza mesti diberi ‘perspektif mengenai laluan politik yang boleh dipercayai untuk negara Palestin dan masa depan baharu’ dan ia sepatutnya tidak boleh diubah.

Perang Gaza sejak 7 Oktober lalu dikatakan telah membunuh lebih 27,000 rakyat Palestin.

Negara pengantara sedang menunggu jawapan daripada Hamas mengenai cadangan yang dirangka minggu lalu dengan ketua perisik Israel dan AS, yang diteruskan oleh Mesir serta Qatar bagi membolehkan gencatan senjata diisytiharkan.

“Nampaknya, ada prospek potensi gencatan senjata sementara untuk menghentikan pertempuran, mungkin memerlukan beberapa hari atau minggu. Ini harapan saya,” kata Cameron dalam wawancara berasingan dengan akhbar Lubnan, Annahar. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini