comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Dr Noor Hisham antara doktor terbaik di dunia

BEIJING: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN).

Ini berdasarkan kewibawaan Dr Noor Hisham menangani krisis COVID-19.

Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang coronavirus.

Dua lagi doktor yang tersenarai adalah pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka diberikan pujian sejak beberapa minggu lalu, apabila tampil dengan ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta COVID-19 kepada orang ramai.

Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ menerusi laporan media.

Dr Noor Hisham, 57, menjadi Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dianggap ‘wajah memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini COVID-19 di media sosial, berdasarkan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Beliau sentiasa mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.

Dr Noor Hisham, yang berkelulusan ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.

Loading...
Terkini