comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Gempa bumi kuat dengan magnitud 7 gegar Kepulauan Solomon

Penduduk setempat berkumpul di ruang terbuka di Honiara selepas gempa bumi melanda.

WELLINGTON: Gempa bumi kuat magnitud tujuh menggegarkan Kepulauan Solomon tengah hari tadi, menyebabkan meja terbalik dan orang ramai bertempiaran lari.

Tiada laporan awal mengenai kemusnahan besar harta benda atau kemalangan jiwa, malah amaran tsunami yang dikeluarkan sebelum ini ditarik balik selepas gegaran beransur kurang.

Jurucakap kerajaan, George Herming, berkata beliau berada di pejabatnya di tingkat dua sebuah bangunan di ibu negara, Honiara, apabila gempa menggegarkan bandar itu, memaksanya berlindung di bawah meja.

“Gegaran yang amat kuat membuatkan semua terkejut, meja, kerusi dan buku berselerakan tetapi tiada kerosakan besar pada struktur bangunan,” katanya.

Herming berkata, Kepulauan Solomon, yang mempunyai sekitar 700,000 penduduk, tidak mempunyai banyak bangunan pencakar langit yang berisiko rosak akibat gempa bumi.

Bagaimanapun, ramai orang panik dan berlaku kesesakan lalu lintas apabila semua bergegas memandu kenderaan menuju ke tempat tinggi.

Pusat gempa dikesan di kawasan lautan, sekitar 56 kilometer (km) ke barat daya Honiara pada kedalaman 13km, menurut Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (AS).

Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada awalnya, memberi amaran mengenai kemungkinan ombak besar di wilayah itu tetapi kemudian menolak kemungkinan wujud ancaman tsunami. – AFP

Loading...
Terkini