comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Gunung Berapi Cumbre Vieja Memuntahkan Lahar

Kira-kira 700 hingga 800 penduduk di Sepanyol dipindahkan ekoran gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma masih memuntahkan lahar, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.

Minggu lalu aliran lahar dilaporkan menutupi kawasan seluas 595 hektar.

Sebelum ini kira-kira 6,000 penduduk dipindahkan selepas gunung berapi yang terletak di barat daya pulau itu meletus pada 19 Sept lepas, lapor Xinhua.

Letusan itu turut mengakibatkan kira-kira 1,281 bangunan musnah dan lahar gunung berapi telah membentuk kawasan baharu seluas 60 hektar (0.6 km persegi).

Aliran lahar pada Isnin itu juga telah memusnahkan sebuah kilang simen di kawasan perindustrian, menyebabkan 3,500 penduduk di perbandaran El Paso dan Los Llanos de Aridane diarah tidak keluar rumah berikutan kebimbangan berlakunya gas beracun.  

Perdana Menteri Pedro Sanchez dijadual melawat La Palma pada Rabu, lawatan kali ke-4 dalam tempoh tiga minggu dan beliau dijangka memberikan perincian lanjut mengenai rancangan bantuan kecemasan kerajaan.

Pelan bantuan kerajaan sebelum ini memperuntukkan € 206 juta (kira-kira US$237.8 juta) untuk membantu penduduk yang terjejas.–BERNAMA

Loading...
Terkini