comscore
Tumpuan :
Luar Negara

India Enggan Sokong Pelarian Rohingya

NEW DELHI: Kementerian Dalam Negeri India mengesahkan pelarian Rohingya di ibu negara ini akan dibawa di pusat tahanan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Tindakan itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan seorang menteri sebelum ini yang menjanjikan rumah pangsa dan keselamatan kepada pelarian berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Persekutuan Perumahan dan Hal Ehwal Bandar, Hardeep Singh Puri, menggariskan peruntukan baharu untuk Rohingya, sekali gus memberi isyarat mengenai potensi perubahan dalam pendirian kritikal kerajaan terhadap kumpulan pelarian dari Myanmar.

Melalui Twitter, Hardeep menyatakan bahawa pelarian Rohingya akan diberikan rumah pangsa di kawasan Bakkarwala di barat Delhi, dengan penyediaan kemudahan asas dan perlindungan polis sepanjang masa.

Namun, beberapa jam selepas muat naik oleh Hardeep itu, Kementerian Dalam Negeri pula membuat kenyataan bercanggah apabila pelarian Rohingya akan terus berada di kawasan selatan bandar itu sebelum dihantar pulang.

“Warga asing yang tidak sah hendaklah diletakkan di pusat tahanan sehingga mereka dihantar pulang mengikut undang-undang.

“Kerajaan Delhi tidak mengisytiharkan lokasi sekarang sebagai pusat tahanan. Mereka sudah diarah untuk dibawa ke sana secepat mungkin,” katanya.

Perdana Menteri, Narendra Modi, sebelum ini cuba menghantar pulang pelarian Rohingya, yang pada dasarnya adalah masyarakat minoriti di Myanmar.

Ratusan ribu etnik Rohingya terpaksa melarikan diri daripada gelombang keganasan dan penganiayaan di negara mereka dengan kebanyakannya menuju ke Bangladesh.

Menurut anggaran aktivis hak asasi Rohingya, Ali Johar, sehingga awal tahun ini, kira-kira 1,100 Rohingya ‘menumpang’ di Delhi dan 17,000 lagi di kawasan lain di India, dengan bekerja sebagai buruh kasar, penjaja dan penarik beca.

Beliau berkata, kira-kira 2,000 Rohingya melarikan ke Bangladesh tahun ini berikutan bimbang akan dihantar pulang.

“Kebanyakan pelarian Rohingya yang berada di Delhi kini menetap di rumah sewa, di mana mereka berasa selamat, atau di perkampungan,” kata Ali, 27, yang berpindah ke India sedekad lalu dan tinggal bersama keluarganya.

Bercakap kepada Reuters sebelum kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Ali menggariskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat itu yang menghadapi kemarahan beberapa kumpulan Hindu sayap kanan India.

Katanya, kemudahan baharu itu boleh digunakan untuk ‘mengurung’ pelarian Rohingya.

“Jika ia menjadi kem tahanan, itu akan menjadi mimpi ngeri bagi kami,” katanya. – REUTERS

Loading...
Terkini