comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Indonesia naikkan cukai eksais rokok untuk kurangkan perokok muda

Foto hiasan

JAKARTA: Kerajaan Indonesia memutuskan untuk menaikkan cukai eksais rokok bertujuan mengurangkan perokok dalam kalangan golongan muda dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok pada 2023 dan 2024, kata Menteri Kewangan Sri Mulyani pada Khamis.

Mesyuarat mengenai dasar eksais tembakau yang diketuai Presiden Joko Widodo di Istana Presiden Bogor memutuskan, kerajaan akan menaikkan kadar eksais bagi rokok kretek buatan mesin daripada 11.50 kepada 11.75 peratus, rokok putih daripada 11.00 kepada 12.00 peratus dan rokok gulung pada purata lima peratus, lapor Xinhua.

Kenaikan kadar eksais juga akan dikenakan terhadap rokok elektronik dengan kadar purata 15 peratus.

“Rokok meliputi penggunaan kedua tertinggi isi rumah miskin bandar iaitu sebanyak 12.21 peratus dan luar bandar sebanyak 11.63 peratus, juga antara punca kematian dan masalah bantut,” kata Mulyani.

Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok dalam kalangan belia berumur 10 hingga 18 tahun daripada 9.1 peratus kepada 8.7 pada 2024 menerusi Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional bagi tempoh 2020-2024. – BERNAMA

Loading...
Terkini