comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Kebanyakan Negara EU mengalami kemelesetan pada suku keempat tahun ini

Foto: Reuters

BRUSSELS: Pesuruhjaya Ekonomi Eropah, Paolo Gentiloni memberi amaran bahawa prospek untuk tahun depan “semakin lemah dengan ketara” dengan kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) akan mengalami kemelesetan pada suku keempat tahun ini.

Beliau berucap pada sidang akhbar di Brussels sejurus selepas Suruhanjaya Eropah mengumumkan bahawa ia telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi untuk tahun depan.

Untuk musim luruh Suruhanjaya Eropah mengunjurkan penurunan keluaran ekonomi dalam tiga bulan terakhir tahun ini dan bulan pertama 2023.

Ketidaktentuan yang meningkat, tekanan harga tenaga yang tinggi, pengurangan kuasa beli isi rumah, persekitaran luaran yang lebih lemah dan syarat pembiayaan yang lebih ketat dijangka membawa EU, kawasan euro dan kebanyakan negara anggota, ke dalam kemelesetan pada suku terakhir 2022.

Untuk 2023 secara keseluruhan, pertumbuhan KDNK sebenar di EU dan kawasan euro adalah pada 0.3 peratus, susut di bawah 1.5 peratus dan 1.4 peratus yang dijangkakan dalam unjuran sebelumnya dari Julai.

“Lonjakan harga tenaga dan inflasi yang berleluasa kini mengambil alih dan kami menghadapi tempoh yang sangat sukar dari sudut sosial dan ekonomi,” tegas Gentiloni.

“Selepas separuh pertama tahun yang mengejutkan, ekonomi EU kehilangan momentum pada suku ketiga, dan data tinjauan terbaru menunjukkan penguncupan untuk musim sejuk,” katanya.

Di samping itu, inflasi terus meningkat lebih cepat daripada jangkaan.

Tekanan harga yang semakin pantas dan meluas dalam sepuluh bulan pertama tahun ini telah menggerakkan jangkaan puncak inflasi ke suku keempat tahun ini, dan menaikkan unjuran kadar inflasi tahunan kepada 9.3 peratus di EU dan 8.5 peratus di kawasan euro.

Inflasi dijangka menurun pada 2023, tetapi kekal tinggi pada 7.0 peratus di EU, dan 6.1 peratus di kawasan euro. – BERNAMA

Loading...
Terkini