comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Jambatan Kayu Runtuh, Kereta Terjunam Dan Trak Tersangkut Menegak

COPENHAGEN: Sebuah kereta terjunam ke sungai, manakala sebuah trak tersangkut selepas jambatan kayu merentasi sungai di selatan Norway runtuh, awal hari ini.

Menurut polis, pemandu kedua-dua kenderaan itu berjaya diselamatkan dan masing-masing dalam keadaan baik.

Difahamkan, polis dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) itu, ketika sebuah trak dan sebuah kereta sedang melintasinya.

Kereta itu terjunam ke dalam sungai, manakala trak kekal di atas jambatan dalam kedudukan hampir menegak di bahagian yang runtuh.

Polis berkata, sebuah helikopter dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu dalam operasi menyelamat dan berjaya menarik keluar pemandu lori, manakala pemandu kereta itu berjaya keluar dari kenderaannya sendiri.

Jambatan sepanjang hampir 150 meter itu menghubungkan tebing barat Sungai Laagen di Gudbrandsdalslaagen dan kampung Tretten dan ia dibuka pada 2012.

“Ia benar-benar malapetaka, sangat mengejutkan. Ia juga jambatan yang agak baharu, tetapi musnah sepenuhnya, semuanya sudah runtuh,” kata datuk bandar tempatan Jon Halvor Midtmageli kepada akhbar Dabgladet.

Persekutuan Automobil Norway berkata, jambatan itu diperiksa pada 2021, mencetus kebimbangan mengenai keselamatan jambatan itu.

“Kami yang mengembara di jalan raya perlulah mempercayai bahawa jambatan itu selamat untuk dilalui,” kata jurucakap organisasi itu, Ingunn Handagard kepada agensi berita Norway NTB.

Setakat ini punca kejadian masih belum diketahui. – Berita Harian / AP

Loading...
Terkini