comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Konflik Sudan : Puak bertelagah tolak gencatan senjata

FOTO: AFP

KHARTOUM: Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan menolak terhadap cadangan gencatan senjata dan hanya menandatangani deklarasi yang berusaha ke arah perbincangan lanjut bagi gencatan senjata jangka pendek.

Bagaimanapun, Angkatan Tentera Sudan dan kumpulan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF)  menyatakan komited untuk melindungi orang awam dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) hari ini.

“Kedua-dua pihak semakin jauh antara satu sama lain,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, perunding yang bekerjasama dengan pengantara Arab Saudi dan AS menetapkan matlamat untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dalam masa 10 hari.

Pegawai kanan Jabatan Negara AS berkata, deklarasi yang ditandatangani hari ini bertujuan meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan dan memulakan pemulihan perkhidmatan air dan elektrik.

Katanya, pengantara bagi kedua-dua pihak bertelagah berharap mampu mengatur pengunduran anggota tentera dari hospital dan klinik serta dapat menguruskan pengebumian penduduk yang terkorban akibat peperangan itu secara terhormat.

Dalam pada itu, pertempuran baharu menggegarkan Halfaya, pintu masuk ke ibu negara Khartoum semalam apabila penduduk mendengar pesawat pejuang mengelilingi Khartoum dan bandar bersebelahannya Bahri dan Omdurman.

Kedua-dua pihak tidak menunjukkan mereka bersedia untuk menamatkan konflik yang meletus dan mengancam untuk mengheret Sudan ke kancah perang saudara, membunuh ratusan orang serta mencetuskan krisis kemanusiaan.

Sebelum ini, perjanjian gencatan senjata berulang kali dilanggar menyebabkan orang awam hidup dalam keadaan huru-hara.

Ia mengakibatkan penduduk terputus bekalan elektrik, air dan bekalan makanan selain menyebabkan sistem kesihatan awam terjejas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih 600 orang terbunuh dan lebih 5,000 orang cedera dalam pertempuran setakat ini. – REUTERS

Loading...
Terkini