comscore
Tumpuan :
Luar Negara

[VIDEO] Korban gempa bumi di Cianjur meningkat kepada 162 mangsa

CIANJUR: Sekurang-kurangnya 162 mangsa disahkan terbunuh setakat ini akibat gempa bumi kuat yang turut mencederakan ratusan mangsa lain dalam tragedi di pulau utama Indonesia, semalam.

Menurut Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, kebanyakan yang terbunuh adalah pelajar sekolah awam yang selesai sesi pembelajaran dan sedang mengikuti kelas tambahan di sekolah Islam apabila bangunan mereka duduki runtuh.

Akibat tragedi itu, hospital sesak dengan ketibaan mangsa yang cedera dan jumlah korban dijangka terus meningkat manakala anggaran tidak dapat dibuat serta-merta berikutan ia adalah luar bandar yang jauh.

Kira-kira 175,000 penduduk mendiami bandar Cianjur, iaitu sebahagian daripada daerah pegunungan dengan nama yang sama dihuni lebih daripada 2.5 juta orang.

Lebih 13,000 penduduk yang kediaman mereka rosak teruk dibawa ke pusat pemindahan.

FOTO: REUTERS

Berikutan ramai cedera, petugas kecemasan terpaksa merawat penduduk di atas pengusung di luar hospital, tempat letak kereta di wilayah Cianjur, iaitu mengambil masa kira-kira tiga jam pemanduan dari ibu negara.

Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah Jawa Barat lewat petang semalam, pada kedalaman 10 kilometer, dengan gegaran turut dirasakan di Jakarta, di mana bangunan tinggi turut bergoyang.

Menurut Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Negara, Abdul Muhari, dianggarkan 25 lagi mangsa tertimbus dalam runtuhan di kampung Cijedil.

Beberapa jalan turut terhalang berikutan tanah runtuh di sekitar daerah Cianjur.

Antara puluhan bangunan yang rosak ialah sebuah hospital dan berlaku gangguan bekalan elektrik, sementara Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia merekodkan sekurang-kurangnya 25 gegaran susulan.

Indonesia, dengan lebih 270 juta penduduk, kerap dilanda gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami berikutan lokasinya terletak di ‘lingkaran api’, sebuah banjaran gunung berapi dan garisan sesar di Lembangan Pasifik.

Februari lalu, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan lebih 460 orang di wilayah Sumatera Barat.

Pada Januari 2021, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter meragut lebih 100 nyawa dan mencederakan hampir 6,500 di wilayah Sulawesi Barat.

Gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi yang kuat pada 2004 mengorbankan hampir 230,000 orang di lebih 10 negara, kebanyakannya di Indonesia. – AP

Loading...
Terkini