comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Korea Selatan suarakan bantahan ‘keras’ susulan pesawat China, Rusia masuk zon KADIZ

FOTO REUTERS

SEOUL: Kementerian pertahanan Korea Selatan pada Jumaat menyuarakan bantahan kepada China dan Rusia berhubung tindakan pesawat perang mereka memasuki zon pengenalan pertahanan udara (KADIZ) negara itu di Laut Timur tanpa notis, lapor Yonhap.

Pada Khamis, dua pesawat tentera China dan empat pesawat tentera Rusia memasuki KADIZ, memaksa Tentera Udara Korea Selatan mengerah jet pejuangnya ke kawasan terbabit.

Pesawat terbabit tidak menceroboh ruang udara Korea Selatan.

“Kementerian pertahanan menyuarakan kekesalan kepada China dan Rusia susulan penerbangan pesawat tentera mereka ke kawasan sensitif berhampiran ruang udara kami tanpa sebarang notis awal,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Kementerian juga menyeru pihak berkenaan untuk mengambil langkah yang sewajarnya bagi mencegah kejadian berulang dengan menyatakan bahawa tindakan sedemikian boleh menyebabkan ketegangan.

Zon pertahanan udara bukanlah ruang udara wilayah tetapi pesawat asing diminta mengemukakan pengenalan diri mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Menurut laporan, kementerian pertahanan China dan Rusia pada Khamis mengeluarkan kenyataan bahawa mereka melaksanakan penerbangan tinjauan bersama di bawah rancangan kerjasama tahunan serta mendakwa penerbangan itu selaras dengan undang-undang antarabangsa. – BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini