comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Lagi lelaki Palestin dibunuh ketika serbuan rejim Zionis

FOTO: AP

BAITULMAQDIS: Seorang lagi lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel ketika serbuan di Tebing Barat hari ini.

Pegawai kesihatan Palestin berkata, pembunuhan itu adalah tragedi terbaru dalam lonjakan keganasan di wilayah berkenan.

Tentera Israel melakukan serbuan hampir setiap hari di seluruh Tebing Barat sejak musim bunga.

Agensi berita rasmi Palestin, Wafa, berkata askar memasuki kem pelarian Deheish berhampiran bandar Baitulaham awal hari ini dan mencetuskan pertempuran dengan sekumpulan penduduk tempatan.

Agensi itu berkata, mangsa yang terbunuh adalah Omar Manaa, 22, manakala enam lagi rakyat Palestin cedera dan empat yang lain ditangkap.

Ketegangan Israel-Palestin yang semakin meningkat menjadikan 2022 tahun terburuk di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dalam konflik yang berpanjangan sejak 2006.

Pertempuran dijangka meningkat memandangkan kerajaan berhaluan kanan iaitu kumpulan pro Israel yang terburuk dalam sejarah Israel, bersedia untuk memimpin negara dalam beberapa minggu akan datang, dengan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, kembali berkuasa.

Sekurang-kurangnya 145 mangsa warga Palestin dan 26 warga Israel terbunuh dalam keganasan di Israel dan Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis timur tahun ini.

Gelombang serangan Palestin baru-baru ini terhadap sasaran Israel mengorbankan sembilan lagi mangsa. – AP

Loading...
Terkini