comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Lapangan Terbang Brussels batalkan penerbangan susulan mogok pada 9 November

FOTO: AP

BRUSSELS: Lapangan Terbang Brussels semalam mengumumkan bahawa beberapa penerbangan pada 9 November dibatalkan berikutan mogok yang dilancarkan kesatuan sekerja di seluruh negara susulan kenaikan harga bahan api dan kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan bertulis, lapangan terbang itu memaklumkan pihaknya akan membatalkan atau menjadualkan semula penerbangan pada Rabu depan untuk mengelakkan kelewatan dan tempoh masa menunggu yang lama.

Kira-kira 40 peratus daripada penerbangan telah dibatalkan manakala mogok itu dijangka menjejaskan sektor pengangkutan dengan teruk, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Syarikat penerbangan akan memaklumkan penumpang mengenai jadual penerbangan yang terjejas, serta menggesa penumpang yang melakukan perjalanan pada hari itu untuk membawa bagasi ringan.

Kesatuan Belgium dilaporkan menuntut perubahan dalam menangani masalah kenaikan kos sara hidup termasuk harga siling bagi gas dan elektrik serta gaji yang lebih baik.

Harga gas asli di negara itu meningkat sebanyak 130.6 peratus pada Oktober termasuk harga elektrik sebanyak 84.7 peratus berbanding setahun lalu, menurut data rasmi dikeluarkan pejabat statistik Belgium Statbel minggu lalu.

Kadar inflasi di negara itu juga mencecah 12.27 peratus, tertinggi sejak 1975. – BERNAMA

Loading...
Terkini