comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Larangan EU ke atas import minyak mentah Rusia berkuat kuasa

FOTO: REUTERS

BRUSSELS: Minyak mentah Rusia dilarang di import ke Kesatuan Eropah (EU) mulai Isnin, dengan pengecualian terhad, susulan penguatkuasaan sekatan yang dipersetujui pada Jun.

Larangan itu yang dipersetujui dalam pakej sekatan untuk menghukum Rusia kerana menceroboh Ukraine, secara teknikalnya mula berkuat kuasa selepas diterima pakai, namun negara anggota EU diberikan tempoh peralihan, menurut DPA.

Pengecualian diberikan kepada Hungary, Slovakia dan Republik Czech, tiga negara anggota EU yang bergantung kepada minyak saluran paip dari Rusia berdasarkan lokasi geografi mereka dan ketidakupayaan untuk menggantikan import dengan cepat.

Pada masa sama, had harga minyak Rusia yang diangkut dengan kapal yang diperkenalkan bagi menjejaskan hasil Kremlin daripada eksport tenaga, juga berkuat kuasa dengan mengehadkan eksport ke negara lain pada US$60 setong.

Had harga itu dikaitkan dengan keputusan sebelum ini oleh kumpulan ekonomi terkemuka G7 untuk menyekat eksport minyak Rusia ke ekonomi global secara meluas seperti ke China dan India.

Had itu akan disemak setiap dua bulan, menggunakan harga minyak Rusia yang disediakan Agensi Tenaga Antarabangsa sebagai rujukan, memetik kenyataan Majlis Eropah.

Ukraine meminta had US$30 setong, namun Barat bimbang bahawa penetapan harga yang terlalu rendah akan menyebabkan Rusia menarik minyak mentah daripada pasaran, sekali gus melonjakan lonjakan harga bahan api itu.

Satu lagi had harga yang dikenakan ke atas minyak bertapis bermula pada Februari 2023 serentak penguatkuasaan larangan EU terhadap import produk minyak bertapis. – BERNAMA

Loading...
Terkini