comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Majlis Eropah kritik Denmark kerana beri ruang Paludan lakukan provokasi

Foto: Agensi

ISTANBUL: Ucapan kebencian di Denmark memperoleh manfaat hasil “perlindungan polis” di bawah “nama kebebasan bersuara,” menurut laporan terbaharu Suruhanjaya Anti-perkauman Majlis Eropah ECRI yang dikeluarkan Isnin.

Laporan itu dikeluarkan susulan kemarahan terhadap tindakan Islamofobia oleh ahli politik Denmark-Sweden Rasmus Paludan, pemimpin Parti Stram Kurs yang membakar halaman al-Quran di Denmark dan Sweden.

“Berkenaan ucapan kebencian, ECRI kesal bahawa ahli politik dari parti berbeza menggambarkan orang Islam di Denmark, termasuk mereka yang telah diberikan suaka sebagai ancaman kepada nilai dan budaya negara itu.

“Dalam manifestasi paling teruk, satu parti politik telah menjadikannya platform utama untuk menganjurkan ’pembersihan’ umat Islam serta mengancam, mencemuh dan menghina golongan itu dan orang kulit hitam di kawasan kejiranan mereka sendiri, manakala hampir tiada ucapan balas daripada ahli politik lain, ” lapor Agensi Anadolu memetik laporan Denmark 2022 ECRI.

Laporan itu menggesa agar “semua bentuk sokongan kewangan dan lain-lain oleh badan awam ditarik daripada parti politik dan organisasi yang menggunakan ucapan kebencian.”

Laporan itu juga memberi amaran bahawa amalan “kebebasan bersuara” mungkin mengakibatkan kekurangan tindakan terhadap ucapan kebencian dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah.

ECRI menggalakkan pihak berkuasa Denmark mengukuhkan latihan guru dan badan profesional lain untuk menangani perkara itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini