comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Malaysia Iktiraf Sijil Vaksinasi Vietnam – PM

HANOI:  Malaysia bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam selepas mengambil kira bahawa negara itu turut menggunakan jenis-jenis vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi meningkatkan aktiviti pelancongan dalam kerjasama pasca pandemik COVID-19 kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Vietnam membuka sempadan antarabangsanya  pada 15 Mac lepas, manakala  Malaysia juga telah membuat keputusan untuk membuka sempadannya kepada kunjungan pelawat antarabangsa bermula 1 April ini. 

Beliau berkata dalam lawatan rasminya ke Vietnam, beliau turut mengutarakan beberapa inisiatif kerjasama baharu, di samping meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

“Pertamanya mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas. Vietnam telah pun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia sebelum ini (Ogos 2021), dan semasa pertemuan saya dengan Perdana Menteri Vietnam (Pham Minh Chinh) saya memaklumkan bahawa Malaysia bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam,” katanya.

Bercakap kepada kumpulan media Malaysia di sini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam, semalam, katanya beliau turut mencadangkan supaya kedua-dua negara memuktamadkan proses integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam. – BERNAMA

Loading...
Terkini