comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Masjid terapung, penduduk Dubai bakal solat ‘bawah air’

Dewan solat bawah air dengan pemandangan seperti dalam akuarium. FOTO: Agensi

DUBAI: Sebuah masjid terapung pertama di dunia akan dibina di sini yang menelan kos bernilai 55 juta dirham (kira-kira RM70.72 juta).

Laporan Gulf News menyebut, projek itu direka untuk memperkukuhkan pelancongan Islam di emiriah itu.

Pembinaannya dijadualkan siap pada tahun depan, struktur inovatif itu terdiri daripada tiga tingkat yang mempunyai fungsi unik.

Tingkat pertama untuk ruang solat bawah air, tingkat kedua pula menempatkan dewan serba guna dan tingkat ketiga digunakan untuk pameran Islam.

Dengan kapasiti memuatkan antara 50 hingga 75 jemaah, projek luar biasa ini bakal menjadi mercu tanda ketenangan rohani dan simbol budaya.

Selain itu, masjid ini dirancang menganjurkan pameran al-Quran.

Perunding Komunikasi Budaya di Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal Dubai, Ahmed Khalfan Al Mansouri berkata, projek itu menjadi mercu tanda kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami percaya, kemanusiaan sebagai konsep lebih tinggi dan komprehensif daripada semua konsep lain yang lazim pada zaman ini.

“Pelancongan berperanan sebagai jambatan budaya dan tarikan penting bagi pelawat dan pelabur.

“Ia dicapai berdasarkan reputasi UAE dalam aspek keselamatan, hospitaliti dan menerima kepelbagaian,” katanya ketika sidang media pengumuman projek itu di ibu pejabat jabatan berkenaan, baru-baru ini.

Ia turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal di Dubai, Dr Hamad Al Sheikh Ahmed Al Shaibani dan tokoh terkemuka lain dari pelbagai jabatan.

Sementara itu, Ketua Inisiatif Pelancongan Agama, Dr Abdullah Ibrahim Abdul Jabbar berkata, Projek Pelancongan Keagamaan di Dubai bertujuan mempromosikan status Dubai sebagai hab pelancongan keagamaan global selain mengalu-alukan pelawat dari semua latar belakang.

Dewan serbaguna untuk acara kebudayaan Islam. FOTO: Agensi

Katanya, ia selaras matlamat meletakkan Dubai sebagai bandar paling banyak dikunjungi di dunia menjelang 2025 seperti digariskan dalam strategi Dubai 2025.

“Projek itu merangkumi beberapa siri inisiatif termasuk Iftar Dubai, perhimpunan unik wakil agama dan lawatan ke masjid bersejarah, baharu dan terbilang.

“Ia juga menampilkan program sosial, sukan dan pendidikan dalam inisiatif Hala Ramadan, memupuk perpaduan dan pertukaran budaya,” katanya.

Beliau juga menyentuh aspek taman al-Quran dan pasar perayaan yang terletak berhampiran masjid utama dan pusat jabatan.

Ia menawarkan kepada pelancong Muslim dan bukan Muslim untuk melihat sekilas tradisi emiriah semasa perayaan sambil mempromosikan pertukaran budaya dan perayaan meriah.

Program itu merangkumi fatwa, perundingan dan sebagainya sekali gus menjadikan Dubai destinasi menarik untuk pelancong Muslim dan bukan Islam.

Dengan projek monumental ini, Dubai menjangkakan lonjakan tiga hingga empat peratus dalam aspek lawatan pelancong sekali gus memupuk integrasi budaya dan persefahaman bersama.–Agensi

Loading...
Terkini