comscore
Tumpuan :
Luar Negara

NASA lancar roket gergasi untuk kembali ke bulan

Roket untuk ke bulan milik NASA yang akan membawa kapsul Orion. – FOTO: AP

CAPE CANAVERAL: Selepas dua percubaan sebelum ini gagal, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) bersedia melancarkan roket gergasi ke bulan tengah malam ini (waktu Malaysia) dari Florida.

“Masa (kita) akan tiba. Kami berharap ia tengah malam ini,” kata Pengurus Artemis 1, Mike Sarafin, mengenai misi yang tertangguh kerana ribut taufan minggu lalu, dari ibu pejabat NASA.

Cuaca dijangkakan baik dengan peluang 80 peratus peluang untuk dilancarkan dalam tempoh dua jam yang bermula pada 1:04 pagi waktu tempatan.

Seperti dijangka, Pengarah Pelancaran Wanita NASA yang pertama, Charlie Blackwell-Thompson, memberinya kebenaran pada petang Selasa untuk memulakan operasi mengisi bahan bakar.

Misi Artemis 1, penerbangan ujian tanpa angkasawan, mewakili langkah pertama dalam rancangan agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) untuk membina kehadiran berkekalan di bulan dan memulakan pembelajaran dari sana untuk bersedia kepada penerokaan masa depan ke Marikh pada 2030.

Program angkasa lepas baharu itu muncul 50 tahun pertama kali selepas manusia menjejak kakinya di atas permukaan bulan.

Ia akan menjadi pelancaran pertama roket Sistem Pelancaran Angkasa Setinggi 32 tingkat, yang paling berkuasa pernah direka oleh NASA.

Jika pelepasan tengah malam ini berjalan seperti dirancangkan, misi itu akan berlangsung selama 25 hari setengah, dengan pendaratan di Lautan Pasifik pada 11 Disember.

NASA menjalankan misi kali ini selepas membangunkan roket SLS selama lebih satu dekad, dengan pelaburan lebih AS$90 bilion (RM408.52 bilion) dalam program penerokaan bulan menjelang akhir 2025, menurut audit awam.

Artemis 2 akan terbabit dalam misi ‘terbang di sisi bulan dengan angkasawan’ pada 2024.

Pendaratan di permukaan bulan dijangka berlaku semasa pelancaran Artemis 3 sebelum 2025, dengan kru merangkumi wanita pertama dan individu pertama bukan berkulit putih menjejakkan kaki di bulan. – AFP

Loading...
Terkini