
NEW YORK: Operasi ketenteraan Israel sudah cukup membuktikan dengan sangat jelas satu kesalahan rentetan jumlah kematian orang awam di Gaza dalam kekejaman berpanjangan yang dilakukan.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, meskipun dimulakan Hamas pada 7 Oktober, namun melihat kepada angka kematian orang awam di Gaza, Israel jelas melakukan kesalahan jenayah yang serius dalam serangan balasnya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Reuters.
Sehingga kini, angka kematian warga Palestin melebihi 10,000 nyawa.
Lebih menyayat hati, 40 peratus daripadanya kanak-kanak.
Guterres juga membandingkan jumlah kanak-kanak yang terkorban di Gaza dengan jumlah kematian dalam konflik di seluruh dunia yang dilaporkan setiap tahun.
Ujarnya, sikap dendam Israel untuk menghapuskan pejuang Hamas, mengepung Gaza, melancarkan operasi serangan darat telah melanggar piagam antarabangsa.
Beliau juga berkata, langkah itu tidak membantu Israel meraih simpati masyarakat global, sebaliknya hanya memaparkan imej kekejaman dan tidak berperikemanusian.
Mengulas mengenai penyelesaian konflik, Guterres berkata senario terbaik adalah untuk memastikan semua pihak termasuk perwakilan Palestin dan Israel, tanpa terkecuali PBB, duduk semeja untuk memulakan rundingan damai.