ISLAMABAD: Presiden Pakistan mengarahkan Parlimen dibubarkan, selakigus membolehkan pembentukan kerajaan sementara bagi memberi laluan pilihan raya umum (PRU) dijalankan.
Namun, suasana tegang dijangka ekoran bekas Perdana Menteri Pakistan, yang juga ahli politik paling popular negara itu, Imran Khan, hilang kelayakan bertanding kerana menjalani hukuman penjara.
Pakistan bergolak sejak bekas bintang kriket antarabangsa itu disingkirkan daripada kuasa pada April tahun lalu, dengan kemuncaknya dia dipenjara hujung minggu lalu atas dakwaan rasuah berikutan tindakan keras selama berbulan-bulan terhadap partinya.
Kenyataan daripada pejabat Presiden, Arif Alvi, memaklumkan beliau membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, yang sebelum ini memberi amaran, ‘Pakistan tidak boleh maju sehingga negara mencapai perpaduan nasional’.
Perdana Menteri sementara baharu mesti diumumkan dalam tempoh tiga hari selepas Parlimen dibubarkan dan PRU diadakan dalam tempoh 90 hari.
Namun, kerajaan dijangka mungkin menangguhkan PRU sehingga tahun depan atas alasan negara itu belum cukup tenteram sepenuhnya untuk mengadakan pengundian.
Gabungan tidak dijangka membabitkan beberapa parti politik berlainan haluan berjaya menyingkirkan Khan ketika populariti beliau merudum semasa menerajui negara dengan penduduk kelima paling ramai di dunia itu.
Ekonomi Pakistan masih lembap walaupun mendapat bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana kadar hutang asing melumpuhkan negara itu, inflasi melambung tinggi dan pengangguran meluas susulan pengusaha kilang kekurangan mata wang asing untuk membeli bahan mentah.
Wujud spekulasi sejak berbulan lalu mengenai kemungkinan PRU ditangguh rentetan pemerintah masih bergelut bagi menstabilkan negara yang dibebani krisis keselamatan, ekonomi dan politik.