comscore
Tumpuan :
Luar Negara

PBB gesa siasatan secara telus jenayah terhadap wartawan, kenal pasti dan hukum pelaku

Foto: PBB/Violaine Martin

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pihak berwajib mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan siasatan telus terhadap jenayah yang dilakukan ke atas wartawan, dan memastikan mereka yang terlibat dikenal pasti serta disabitkan kesalahan.

Menurut data mengenai pembunuhan wartawan yang dikeluarkan UNESCO sempena memperingati Hari Antarabangsa untuk Mengakhiri Ketiadaan Hukuman bagi Jenayah Terhadap Wartawan, laporan itu mendedahkan bahawa kadar ketiadaan hukuman bagi insiden pembunuhan wartawan di peringkat global kekal tinggi iaitu pada kadar 86 peratus, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Menurut laporan itu, seramai 117 wartawan dibunuh hanya kerana tugas mereka sebagai wartawan dan 91 daripada mereka dibunuh di luar waktu kerja, sama ada ketika berada di rumah, kereta atau di jalanan, manakala ramai lagi terbunuh di hadapan ahli keluarga dan anak-anak mereka.

Kerajaan dan masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan melindungi golongan ini, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam perutusannya pada Hari Antarabangsa untuk Mengakhiri Ketiadaan Hukuman bagi Jenayah Terhadap Wartawan, semalam.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 Pelan Tindakan PBB mengenai Keselamatan Wartawan dan Isu Terlepas Daripada Hukuman.

Setiausaha Agung itu menekankan kepentingan media yang bebas, agar sistem demokrasi dapat berfungsi, mendedahkan salah laku, mengemudi dunia yang kompleks, dan memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) – pelan tindakan untuk lebih adil, saksama dan lebih lestari pada masa depan.

Pada tahun ini sahaja, lebih 70 wartawan telah terbunuh.

“Kebanyakan jenayah ini tidak dapat diselesaikan. Sementara itu, sejumlah wartawan turut dipenjarakan, manakala ancaman pemenjaraan, keganasan dan kematian terus meningkat,” kata Guterres. – BERNAMA

Loading...
Terkini