comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Pejabat Duta Khas ASEAN di Myanmar mesti dikekalkan – Senator AS

JAKARTA: Pejabat utusan khas ASEAN di Myanmar mesti dikekalkan walaupun selepas penggal Indonesia selaku pengerusi berakhir pada tahun depan, lapor Agensi Berita ANTARA memetik taklimat media senator Amerika Syarikat (AS) dari Illinois Tammy Duckworth, di Jakarta pada Khamis.

Jawatan pengerusi ASEAN akan diambil alih oleh Laos mulai tahun depan. Selaras dengan mekanisme sebelum ini, menteri luar negara pengerusi akan menjadi utusan khas untuk Myanmar.

Pejabat utusan khas ASEAN di Myanmar ditubuhkan tahun ini hasil inisiatif Indonesia, dengan Menteri Luar negara itu, Retno Marsudi, kini mengetuai pejabat itu dan usaha ASEAN untuk menangani krisis di Myanmar.

Duckworth melawat Jakarta untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA). AS adalah antara negara pemerhati di AIPA.

Beliau turut bertemu perwakilan dari beberapa negara ASEAN dan negara pemerhati lain bagi membincangkan isu Myanmar.

Semasa AIPA ke-44 di Jakarta pada Rabu (9 Ogos), AIPA dan negara pemerhati bersetuju untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat krisis yang berpanjangan.

Duckworth berkata Indonesia telah memain peranan kepimpinan yang kukuh dan semua pihak boleh bersatu untuk mendorong usaha yang sama.

“Dan saya meminta delegasi Indonesia supaya mengekalkan pejabat itu (utusan khas) walaupun selepas jawatan pengerusi ASEAN mereka tamat,” katanya.

Beliau juga bekata AS prihatin terhadap pencabulan hak asasi manusia di Myanmar, dengan ramai penduduk, terutama wanita dan kanak-kanak perempuan dan kaum Rohingya, ditindas kerana pegangan agama mereka.

“Saya berharap anda terus mengambil peranan kepimpinan dalam usaha itu,” katanya.  — BERNAMA-ANTARA

Loading...
Terkini