comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Permohonan permit iktikaf Ramadan di Haramain dibuka – Agensi Pengurusan Masjid Nabawi

PETALING JAYA: Jemaah Umrah seluruh dunia, termasuk warga Malaysia yang kini berada di Arab Saudi sudah boleh mula menempah slot Iktikaf Ramadan 1443H di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Isnin 25 Syaaban (28 Mac) sehingga 10 Ramadan (12 April).

Slot Iktikaf Ramadan 1443H akan dibuka untuk tempoh 12 hari bermula 19 hingga 30 Ramadan (21 April-2 Mei), lapor akhbar tempatan Saudi ‘Mojaznews’ memetik sumber Agensi Pengurusan Masjid Nabawi, sebuah agensi di bawah Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjidi Nabawi.

Menurut beliau, jemaah yang berjaya membuat tempahan boleh mengambil permit mereka di kaunter khas yang akan dibuka di kedua-dua Masjid Suci berkenaan dari 16 hingga 19 Ramadan (18-21 April).

Permohonan mesti dibuat berasingan untuk kedua-dua masjid dan secara dalam talian menerusi dua portal khusus, masing-masing di https://bit.ly/3qIx6HU, bagi iktikaf di Masjidil Haram dan https://bit.ly/3Nwf4Ck di Masjid Nabawi.
Namun, perlu diingatkan pautan berkenaan hanya boleh diakses oleh jemaah yang kini berada di Arab Saudi sahaja.

Jemaah juga diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat dan protokol kesihatan selain menjaga tata susila yang ditetapkan dalam portal berkenaan, yang antara lain mewajibkan jemaah membawa sejadah sendiri dan hanya dua pakaian Ihram.–BERNAMA

Loading...
Terkini