comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Pesawat bawa 72 orang terhempas di Nepal, sekurang-kurang 16 maut

Pasukan penyelamat berkumpul di lokasi nahas pesawat Yeti Airlines di Pokhara, Nepal. – FOTO: AFP

KATHMANDU: Sekurang-kurang 16 mangsa terkorban apabila sebuah pesawat membawa seramai 72 orang terhempas di Pokhara, barat Nepal, hari ini, menurut jurucakap tentera.

“Kami menjangka lebih banyak lagi mayat ditemui selepas ini. Kejadian itu mengakibatkan kapal terbang terbabit berkecai,” kata Krishna Bhandari kepada Reuters.

Ratusan anggota sedang bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di lokasi kejadian sekitar lereng bukit.

FOTO: AFP

Kejadian berlaku ketika pesawat dengan enjin berkembar, ATR 72 kendalian Yeti Airlines, membawa 72 orang termasuk dua bayi, empat kru dan 10 warga asing, kata jurucakap syarikat penerbangan Nepal itu, Sudarshan Bartaula.

“Kewarganegaraan mereka belum diketahui, namun kami sedang berusaha untuk mengenal pasti,” katanya.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan kepulan asap tebal di tempat insiden, manakala anggota pasukan SARS giat menjalankan operasi SAR dengan orang ramai dilihat turut berkumpul di sekeliling bangkai kapal terbang itu.

Nahas udara lazim dilaporkan berlaku di Nepal yang memiliki lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest, berikutan ancaman keadaan cuacanya yang boleh berubah secara tiba-tiba. – REUTERS

Loading...
Terkini