comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Portugal: 80,000 guru, kakitangan sekolah adakan protes tuntut kerajaan naikkan gaji

FOTO: REUTERS

LISBON: Puluhan ribu penjawat awam Portugal membabitkan guru dan kakitangan sekolah berarak ke Lisbon semalam bagi menuntut bayaran gaji yang lebih tinggi serta persekitaran kerja yang lebih baik.

Tindakan itu sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan Portugal yang kini bergelut dengan krisis kos sara hidup.

Polis menganggarkan perarakan itu membabitkan 80,000 penunjuk perasaan yang memenuhi ibu kota Portugal sambil melaungkan slogan ‘Untuk bank ada berjuta, bagi kami hanya ada sen’.

Setahun selepas Perdana Menteri Sosialis, Antonio Costa memenangi undian majoriti di Parlimen, popularitinya mula merosot apabila terdapat protes jalanan yang bukan sahaja dalam kalangan guru tetapi bidang profesional lain seperti doktor yang menuntut kenaikan gaji.

Kesatuan Pendidikan Profesional (STOP) menuntut kerajaan untuk menaikkan gaji guru dan pekerja sekolah sekurang-kurangnya 120 euro (RM553) sebulan.

Namun, kerajaan tidak membalas cadangan berkenaan secara khusus kepada guru, tetapi memaklumkan akan menaikkan gaji bulanan semua penjawat awam yang berkenaan sebanyak 52 euro (RM239) dan boleh mendapat jumlah keseluruhan sehingga 2,600 euro (RM11,997).

Guru berkenaan memaklumkan, mereka adalah penjawat awam yang bergaji paling rendah dan keadaan kewangan menjadi semakin buruk selepas kenaikan inflasi baru-baru ini, yang tertinggi sejak 30 tahun.

Skala gaji terendah guru dibayar sekitar 1,100 euro (RM 5,075) sebulan, manakala mereka yang berada dalam kumpulan teratas biasanya akan mendapat sekurang-kurangnya 2,000 euro (RM 9,228) sebulan.

Sejak awal Disember lalu, guru dan kakitangan pendidikan lain melakukan mogok dengan menutup sekolah sehingga menyebabkan pelajar tidak boleh menghadiri kelas.

Mogok berkenaan dilakukan mengikut kawasan dan secara berturut-turut di setiap 18 daerah di Portugal. – REUTERS

Loading...
Terkini