comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Rusia mungkin balas dendam serangan di Donetsk – Zelensky

FOTO: AFP

KYIV: Susulan dakwaan ratusan tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran pada permulaan 2023, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata Russia mungkin akan membalas dendam.

Sehubungan itu beliau memberi amaran supaya orang ramai dan tentera di Ukraine bersedia menghadapi serangan terutama menggunakan dron, bagi melemahkan pertahanan negara.

Zelensky berkata, beliau menerima laporan risikan mendakwa Rusia akan melancarkan serangan balas terhadap mereka dengan menggunakan dron buatan Iran.

Perkara itu berbangkit selepas Ukraine melancarkan serangan yang dikatakan membunuh ratusan tentera Rusia di wilayah Donbas, namun Rusia mendakwa hanya 89 tenteranya terbunuh.

Dron Rusia menyerang ruang udara Ukraine bertubi-tubi sejak akhir-akhir ini dengan menyasarkan bandar dan stesen tenaga negara itu sejak tiga malam yang lalu.

Bagaimanapun, Zelensky berkata, pertahanan Ukraine berjaya menembak jatuh lebih 80 dron buatan Iran pada hari pertama tahun ini.

Rusia dikatakan menyasarkan serangan di tempat-tempat kemudahan infrastruktur tenaga Ukraine untuk beberapa bulan ini, memusnahkan stesen tenaga sehingga menyebabkan jutaan penduduk Ukraine hidup dalam ‘kegelapan’ semasa musim sejuk.

Ukraine pula sebaliknya mengesahkan mereka membuat serangan balas dengan menakluk wilayah Donetsk dan mendakwa berjaya membunuh 400 tentera Rusia.

Serangan Ukraine pada hari pertama 2023 menghancurkan bandar Makiivka di mana tentera Rusia ditempatkan dan dikatakan menyebabkan jumlah kematian tertinggi diketahui Moscow dalam satu serangan sejak peperangan itu bermula 10 bulan lalu.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, penggunaan telefon bimbit secara haram oleh tentera Russia menyebabkan kedudukan mereka mudah dikesan da diserang pihak musuh, menyebabkan begitu banyak kematian.

Sementara itu, nasionalis dan ahli Parlimen Rusia menuntut supaya komander pasukan tentera yang diserang itu dihukum kerana terlalu alpa sehingga gagal memastikan keselamatan anggota mereka. – AGENSI

Loading...
Terkini