
BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawat dimasukkan ke hospital polis susulan masalah kesihatan dialami.
Thaksin dipindahkan ke pusat rawatan berkenaan pada hari pertama menjalani hukuman penjara sejurus kembali ke tanah airnya, semalam.
Perkara itu dimaklumkan polis, namun status kesihatan terkini Thaksin belum diketahui.
Semalam, pegawai jabatan koreksional berkata, Thaksin mempunyai masalah kesihatan sedia ada berkaitan jantung, paru-paru, tulang belakang serta tekanan darah.
Justeru, beliau akan dipantau rapi.
Pihak penjara telah menilai keadaan dan mendapati kekurangan doktor serta peralatan perubatan untuk keperluan penjagaan pesakit berkenaan.
Oleh itu, beliau dihantar ke hospital polis.
Mahkamah agung thailand menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas thaksin, 74 tahun bersabit kesalahan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Thaksin pulang ke Thailand semalam, selepas 15 tahun hidup dalam buangan.