comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Sekolah rendah di New Delhi ditutup, ekoran kualiti udara semakin merosot

FOTO: Money Sharma / AFP

NEW DELHI: Sekolah rendah di New Delhi, India akan ditutup mulai esok dan sekatan ke atas lalu lintas jalan raya akan dipertimbangkan.

Kata Ketua Menteri, Arvind Kejriwal, ketika ini ibu negara terus diselubungi oleh tahap pencemaran udara yang sangat tinggi.

Beberapa penduduk mengadu ketidakselesaan untuk pernafasan serta kerengsaan pada mata, hidung dan tekak kerana indeks kualiti udara melepasi kategori ‘teruk’ dan ‘berbahaya’ di kebanyakan stesen pemantauan, menurut data dari Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.

Bacaan di bawah kategori teruk, atau lebih 400, memberi kesan kepada orang yang sihat, dengan kesan serius kepada mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

“Kami akan menutup semua sekolah rendah di Delhi mulai esok. Juga menutup aktiviti luar untuk semua kelas di atas kelas 5,” kata Kejriwal pada sidang media.

Keputusan untuk menutup beberapa sekolah dibuat selepas ibu bapa dan pencinta alam sekitar yang prihatin menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan kesan pencemaran udara terhadap kanak-kanak.

Pegawai daerah di Noida, bandar satelit New Delhi semalam mengarahkan semua sekolah mengadakan kelas dalam talian untuk pelajar sehingga gred lapan.

New Delhi ialah sebuah bandar berpenduduk kira-kira 20 juta dan ibu kota paling tercemar di dunia.

Ia diselubungi asap setiap musim sejuk kerana udara sejuk dan berat memerangkap habuk pembinaan, pelepasan asap kenderaan dan daripada pembakaran sisa tanaman di negeri jiran Haryana dan Punjab menjelang musim tanaman baharu.

Lembaga kawalan pencemaran persekutuan India dalam pada itu melarang kemasukan trak diesel yang membawa barangan tidak penting ke ibu negara. – REUTERS

Loading...
Terkini