comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Selepas China, Giliran Taiwan Pula Lancar Latihan Ketenteraan

Foto: REUTERS

PINGTUNG: Selepas China mengadakan siri latihan ketenteraan di Selat Taiwan sejak beberapa hari lalu, kini giliran Taiwan pula mengadakan latihan ketenteraan dan ujian senjata di perairan negara itu.

Menurut pihak berkuasa, latihan ketenteraan selama sejam yang dilakukan di perairan Pingtung bertujuan untuk menguji kelengkapan persenjataannya di samping melaksanakan simulasi pertahanan di sekitar sempadan udaranya.

Latihan terbabit diadakan sehari selepas China mengumumkan lanjutan latihan ketenteraannya yang didakwa sengaja mencetuskan provokasi susulan ketibaan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taiwan, minggu lalu.

Jurucakap tentera Taiwan turut memaklumkan satu lagi latihan ketenteraan akan diadakan pada Khamis.

Tindakan China melalui operasi ketenteraan di selat Taiwan nyata menggugat status quo meningkatkan ketegangan sedia ada di antara kedua-dua pihak.

Selain itu juga, langkah berkenaan turut menimbulkan ketidaktentuan dalam isu perdagangan apabila perkara berkenaan mengganggu kelancaran trafik udara dan kapal penghantar di rantau terbabit.

Setakat ini, tiada laporan mengenai pencerobohan ruang udara Taiwan oleh China diterima di sekitar 12 batu nautika, meskipun Beijing mendakwa latihan ketenteraannya diadakan betul-betul di garisan sempadan perairan negara kepulauan itu.

China dalam pada itu menerusi jurucakap kementerian luarnya, Wang Wenbin terus mempertahankan tindakan dengan menyifatkan latihan sejak beberapa hari lalu adalah sebagai bentuk amaran buat mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatannya.

Loading...
Terkini