comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Singapura Akan Buka Kedutaan Di Tel Aviv, Israel – Kementerian Luar Singapura

SINGAPURA: Singapura akan menubuhkan Kedutaan di Tel Aviv, Israel untuk mengukuhkan perkongsian inovasi antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar Negeri (MFA) republik itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat Isnin, MFA berkata Kedutaan akan menjadi pusat tumpuan dan menyokong syarikat Singapura yang ingin mengembangkan kerjasama mereka dengan bakal rakan kongsi Israel.

MFA berkata, Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan yang kini berada di Israel menekankan bahawa kedua-dua negara harus perkukuh kerjasama dalam bidang baru seperti teknologi pertanian makanan, teknologi kesihatan, kecerdasan buatan (AI), dan pendigitalan, apabila dunia bangkit daripada Pandemik COVID-19.

Terdahulu pada Ahad (20 Mac), Singapura menzahirkan hasrat menubuhkan pejabat perwakilan di Ramallah bagi memudahkan kerja-kerja penyelarasan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) bagi rakyat Palestin bernilai S$10 juta.

Menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu, pejabat perwakilan itu bertanggungjawab menyelaras bantuan teknikal dan menyokong usaha wakil Singapura untuk pihak berkuasa tempatan.

Hasrat itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan ketika bertemu rakan sejawatannya Dr Riyad Al-Malki, menurut MFA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Balakrishnan kini dalam rangka lawatan ke Ramallah. 

Selain itu, Balakrishnan mengesahkan komitmen Singapura menyokong pihak berkuasa tempatan melalui kapasiti pembinaan dan menggalakkan lebih ramai pegawai Palestin menyertai kursus latihan di bawah ETAP.

Beliau turut menyampaikan surat jemputan Presiden Singapura Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong masing-masing kepada Presiden Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Dr Mohammad Shtayyeh. 

Turut disampaikan pakej bantuan penjagaan kesihatan khas sumbangan Singapura bernilai kira-kira S$750,000 bagi menyokong usaha Palestin memerangi pandemik COVID-19.

Pakej bantuan itu termasuk kursus penjagaan kesihatan yang bersesuaian, serta biasiswa pascasiswazah bertujuan melatih penggubal dasar dan profesional penjagaan kesihatan Palestin. – BERNAMA

Loading...
Terkini