comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Singapura sertai SAR ke Turkiye, hantar 20 anggota

FOTO: AP

SINGAPURA: Singapura akan menghantar pasukan penyelamat ke Turkiye bagi menyertai usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di wilayah selatan negara itu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerusi laman Facebooknya, mengumumkan bahawa kontinjen Operasi Lionheart (OLH) akan dihantar bagi membantu usaha menyelamat.

“Pasukan yang dianggotai 20 anggota SCDF terdiri daripada pegawai Pasukan Bantuan dan Penyelamat (DART) elit, pakar paramedik, dan seorang doktor akan dihantar dalam tempoh 24 jam akan datang,” menurut SCDF.

Pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Rusia, Pakistan dan India telah menempatkan pasukan penyelamat mereka ke Turkiye.

Malaysia telah menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa gempa bumi.

Pasukan SMART yang terdiri daripada 70 anggota termasuk pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas ke Istanbul lewat malam Isnin.

Dua gempa bumi kuat berukuran 7.8 dan 7.6 pada skala Richter melanda selatan Turkiye pada Isnin serta turut menjejaskan negara jiran Syria.

Menurut laporan, bencana itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 3,419 orang di Turkiye setakat ini, manakala 1,559 orang terkorban di Syria. – BERNAMA

Loading...
Terkini