comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Syarikat milik Elon Musk dapat kelulusan FDA kaji implan otak manusia

FOTO: Reuters

BENGALURU: Syarikat implan otak milik Elon Musk, Neuralink semalam, memaklumkan pihaknya sudah menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan kajian klinikal pertama membabitkan manusia.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya empat kali sejak 2019, Musk meramalkan syarikat peranti perubatannya tidak lama lagi akan memulakan ujian ke atas manusia berhubung implan otak bagi merawat keadaan sukar dikawal seperti lumpuh dan buta.

Bagaimanapun, syarikat yang diasaskan pada 2016 itu tidak memohon kebenaran FDA sehingga awal 2022, yang ditolak agensi itu, kata tujuh individu yang masih atau pernah bekerja di Neuralink kepada Reuters Mac lalu.

Kelulusan FDA diperoleh apabila ahli Parlimen AS menggesa pengawal selia awal bulan ini menyiasat sama ada anggota panel yang mengawasi ujian haiwan di Neuralink menyebabkan percubaan yang gagal dan ujian dilakukan secara tergesa-gesa.

Malah, Neuralink sebelum ini sudah pun menjadi subjek siasatan pihak Persekutuan termasuk Jabatan Pertanian AS (USDA).

Pada 5 Disember lalu, Reuters melaporkan Ketua Inspektor USDA sedang menyiasat, atas permintaan pendakwa raya Persekutuan, potensi pelanggaran Akta Kebajikan Haiwan yang mengawal kaedah penyelidik merawat dan menguji jenis haiwan tertentu.

Siasatan juga sudah melihat pengawasan USDA terhadap Neuralink.

Sementara itu, Neuralink, dalam ciapan Twitter semalam, berkata syarikat itu belum mengambil perhatian untuk ujian klinikal.

“Ini adalah hasil kerja luar biasa oleh pasukan Neuralink dengan kerjasama rapat bersama FDA dan mewakili langkah pertama yang suatu hari nanti akan membolehkan teknologi kami membantu ramai orang,” kata Neuralink.

Neuralink sedang membangunkan implan otak yang diharap berupaya membantu orang lumpuh berjalan semula dan menyembuhkan penyakit saraf lain termasuk mereka yang buta. – REUTERS

Loading...
Terkini